Thursday, August 8, 2013

CATATAN AWAL PAGI 1 SYAWAL 1432- 8 OGOS, 2013

ALLAHUAKBAR...ALLAHUAKBAR...ALLAHUAKBAR...ALLAHUAKBAR...WALILLAHILHAMDU... Kulafazkan takbir dan tahmid tanda mengalu-alukan kedatangan 1 Syawal 1434. Aku terjaga pada awal pagi malam raya kerana umi kurang sihat. Aku sediakan teh dan sapukan ubat. Setelah makan ubat umi tidur semula. Memang sepanjang bulan Ramadan kali ini umi kurang sihat. Aku sendiri pun tidaklah sesihat mana. Kesibukan kerja menjadikan aku melupakan hal kesihatan diri. Seolah-olah sihat dan sakit sudah menjadi perkara biasa saja. 
Siang tadi sebelah pagi aku dan umi ke Pasar Besar Alor Setar. Urusan pergi, membeli dan pulang semula ke rumah yang biasanya hanya paling lama 30 minit sudah menjadi hampir 2 jam. Orang terlalu ramai dan kenderaan di jalan raya pun banyak dan sibuk. Bersimpang siur. Agaknya perantau sudah kembali ke Alor Setar. Sampai balik ke rumah, kusuruh Hamizi dan Hazman balik ke kampung untuk membantu nenek mereka membakar lemang. Tanpa sebarang bantahan mereka terus saja ke kampung dengan Myvi. Memang anak-anakku semuanya patuh dengan cakap aku dan umi. Tok mereka pasti senang hati melihat cucu mereka yang dah besar balik bersama menyediakan lemang. Makanan rasmi raya seperti lemang nampak saja mudah nak sediakan tetapi cukup renyah sebenarnya. Aku sendiri sudah lama tak bantu mak menyediakan lemang untuk raya. Maklumlah anak-anak dah besar biarlah mereka pula belajar... 

Sebenarnya kelmarin kami sekeluarga dah balik ke kampung untuk berbuka puasa untuk kali ketiga sepanjang Ramadan kali ni. Seronok sekali dapat berbuka dengan mak ayah, adikku Nizam suami isteri dan adikku Liza dan suami seta anak-anak semua. Paling shahdu bila sama-sama berterawih untuk malam terakhir di surau depan rumah mak ayah. Ramai jemaah yang hadir mengimarahkah surau pada malam akhir Ramadan 1434.... ayah yang mengimamkan solat Isyak. Lepas tu ayah minta anakku Hazman menjadi imam solat Terawih. Man tak tolak permintaan wannya. Lancar saja Man imamkan terawih kami . Setakat lapan rakaat, Man serahkan balik kepada ayah tapi ayah minta Mazlan, pengerusi JKK kampung kami jadi imam untuk habiskan solat hingga 20 rakaat. Lepas tu kami sekeluarga balik ke Alor Setar. Hamizi yang bawa Exora. Aku macam biasa... kalau anak-anak bawa kereta... terlena sepanjang jalan....sedar-sedar sudah sampai di hadapan pintu pagar rumah. 

Petang tadi juga aku agak sibuk. Menyelesaikan urusan sediakan bilik setor untuk dijadikan bilik untuk anakku Hamizah yang yang bakal bersalin anak kedua tak lama lagi. Dalam bilik tu banyak barang-barang yang disimpan salam bilik tu sejak rumah kami diubahsuai daripada setingkat menjadi dua tingkat. Sejak itulah bilik belakang tu dijadikan setor. Setelah berhempas pulas beberapa hari akhirnya hari ini bilik tu kembali menjadi bilik yang sudah boleh digunakan. Lepas rayalah akan kucatkan semula supaya nampak lebih elok. Jadi sekarang ni rumahku ada lapan bilik yang boleh digunakan, ada 2 ruang tamu atas bawah, ada ruang perpustakaan, ada balkoni kat atas rumah, ada 4 bilik air dan 1 ruang makan. Setakat petang tadi hanya bahagian tepi rumah saja yang belum siap sepenuhnya. Gutter kat awning tepi rumah hanya siap separuh. Tapi kira dah ok sikitlah. Taman bunga yang dah kumulakan sejak awal Ramadan sudah nampak menghijau. Taman ni kugabungkan dengan sudut mandi dan wet kitchen. Bahagian ni benyak belum beres kerana terpaksa sediakan juga ruang untuk rak kotak-kotak barangan dan alatan tukang dan kebun. Hobi bertukang dan berkebun sudah menjadi menjadi kemestian. Itulah kegiatan fizikal yang mencabar minda kreatif dan inovatifku serta menyihatkan. Kesibukan bertukang dan berkebun biarpun hanya di ruangan sempit tepi rumah dapat membebaskan mindaku daripada tekanan kerja di sekolah.....harap-harap aku boleh meneruskan kedua-dua hobi utamaku selain menulis....
Jam menunjukkan pukul 4.05 pagi. Umi sudah nyenyak kembali tidurnya. Aku masih menghadap laptop ini. HP Samsung Grandku di sebelah laptop ni penuh sarat dengan sms ucapan hari raya yang belum sempat kubaca lagi. Sejak siang tadi banyak sms raya yang masuk. Lepas pengumuman raya sempat juga kuhantar sms ucapan raya kepada semua guru sekolahku dan rakan kenalan dan sahabat handai. Sekarang ni dengan telefon pintar urusan menghantar sms menjadi mudah kerana dengan sekali menulis sms terus boleh dihantar kepada ramai orang . Sebenarnya ramai juga rakan2 sahabat kenalan yang nombor mereka tercicir di mana-mana. Bukan apa... bila bertukar ke hp baru, akan ada nombor yang hilang. Apapun aku doakan ke hadrat Ilahi mudah-mudahan orang-orang yang pernah kukenali pada masa lalu berbahagia hendaknya walau dalam apa keadaan kehidupan sekalipun. Sempena Hari Raya yang mulia ini ampunkan semua dosa kesalahanku kepada kalian. Aku hanya insan biasa... tidak lepas dari melakukan kesilapan. Ampun dan maaf kupohonkan. Juga... kumaafkan semua dosa kesalahan kalian semua. Sama-sama kita bermaafan biarpun hanya di angin lalu. Biarpun antara kita tiada kesempatan untuk bersua muka lagi di dunia ini.... 
Aku berhenti di sini. Semoga 1 Syawal 1434 membawa kebahagiaan... Allahakbar Walillahihamdu....

No comments:

Post a Comment