......Tajuk posting ini kucatatkan pagi tadi iaitu sebelum aku berangkat ke tempat kerja. Hanya malam ini sekitar jam 11 malam barulah aku betul-betul berkesempatan menulis di dalam diary ini. Ya... hari ini aku kembali bekerja. Hari ini semua anak dan menantu ada di rumah untuk bersama-sama berbuka puasa. Suka sangat apabila semuanya ada bersama. Riuh rendah rumah kami dengan gelagat si Arisya Nabila. Keletahnya sungguh menghiburkan. Dua malam cucuku itu bersama kami tanpa mak abahnya. Bukan main suka umi melayan cucu kesayangannya itu. Baru sekejap tadi Arisya dibawa balik ke Bandar Darul Aman. Aku dan umi sekitar jam 8.30 malam menghantar Hazman ke Shahab Perdana kerana Man balik ke USM Penang untuk seminggu lagi kerana nak menyiapkan kerja-kerja design dan grafik untuk konvokesyen USM. Aku pun tak berapa faham hal kerjanya dengan USM tu. Katanya dia jadi ketua pereka grafik untuk buat banner, streamer, design flyer, t-shirt dan macam-macam lagi berkaitan konvokesyen USM pada bulan September nanti. Hebat juga anakku Hazman ni. Baru nak masuk tahun 2 sudah jadi ketua pereka grafik untuk program besar universiti. Sebenarnya sudah 2 minggu dia dan rakan-rakannya berkampung di USM, Minden. Ada elaun harian lagi. Membentang hasil kerja pun terus kepada Timbalan Naib Canselor. Berbuka puasa pun dengan TNC. Tu aku kata hebat juga anakku ini... Jie pun pukul 9.30 malam tadi berangkat dengan motor ke Arau kerana ada urusan berkaitan dengan pengajiannya di UniMap. Hamizi ni sebenarnya masuk universiti awal 1 semester berbanding rakan-rakannya Politekniknya yang lain. Orang lain rehat dahulu 6 bulan tapi dia bertuah kerana dapat masuk awal. Jadi pengajiannya agak padat. Mudah-mudahan dia dapat tamatkan pengajiannya tanpa halangan. Bila dah grad barulah pulun habis-habisan cari kerja yang sesuai dengan bidang pengajiannya iaitu ijazah kejuruteraan rangkaian komputer. Hanis memang dah confirm tamat pengajiannya . Beberapa hari yang lalu dia menerima panggilan daripada USM supaya mengisi beberapa borang kerana dia antara calon untuk mendapat anugerah pingat emas semasa konvo USM bulan september ini. Memang Hanis cerah otaknya sejak awal lagi. Dah banyak kali dia terima anugerah dekan. Mudah-mudahan dia dapatlah kot anugerah pingat emas tu. Lepas raya ni Hanis akan ke Jepun mewakili USM dan Malaysia ke Konvensyen Kimia di Jepun bersama beberapa orang wakil daripada universiti lain di Malaysia. Nampaknya Hanis lebih dahulu sampai ke Jepun daripada abahnya. Kerja pun kira dah dapat. Hanis dah ditawarkan kerja di sebuah Firma Penganalisis Kimia di Perai Pulau Pinang. Aku tak ingat nama firma tu. Sesuailah dengan minatnya kerana dia memang nak jadi ahli kimia. Alhamdulillah aku bersyukur sangat kepada Allah kerana memudahkan urusan pengajian anak-anakku....aku berhenti di sini kerana aku perlu menyemak buku Kamus Pepatah, Bidalan & Perumpamaan sebab nak cari dan pilih peribahasa yang sesuai untuk ruangan tetapku dalam majalah Kuntum keluaran September 2013.... dateline diawalkan iaitu 31 Julai 2013....
No comments:
Post a Comment