Hari genap enam hari saya kembali ke tanah air iaitu setelah mengerjakan ibadah umrah. Saya dan keluarga bertolak dari Jeddah lebih kurang jam 1.20 pagi waktu Arab Saudi dan tiba di Bayan Lepas Penang lebih kurang jam 1.16 tengahari. Saya mencatat di sini hanya sebagai mukadimah tanda kembali menjenguk diary ini. Sebenarnya kepala masih berat, demam , batuk.... fenomena biasa bagi yang baru kembali dari tanah suci. Banyak yang ingin dicatatkan, dirakamkan dan diabadikan terutama dan foto dan video yang sempat saya ambil di sana. Pengalaman terindah dalam hidup ketika menyerahkan sepenuh jiwa dan raga untuk beribadah hanya kepada Ilahi. Betapa bersyukur nya diri yang kerdil ini kerana dijemput Allah ke kedua tanah suci Madinah dan diakhiri dengan Makkah. Semuanya amat menyentuh diri dan insyaAllah akan merubah diri ini. Persepsi saya tentang beberapa hal dalam kehidupan juga turut akan berubah. Sebagai permulaannya dalam diary ini saya tidak akan lagi menggnuakan ganti nama `aku' tetapi hanya `saya'. Di tanah suci saya baru sedar bahawa `aku' itu hanya sesuai untuk Allah yang maha pencipta kecualilah dalam dialog atau percakapan biasa. Tapi untuk diary yang dibaca orang lain biarlah saya merendahkan diri hanya sekadar membahasakan diri sebagai `saya' lagipun ganti nama ini maksudnya `sahaya' dalam bahasa sanskrit iaitu sama maksud dengan `hamba'. Jadilah biarlah saya meneruskan diary ini dengan lebih merendah diri sebagai hamba Allah di muka buminya ini. Cukup sekadar itu kerana saya masih perlu istirahat kerana diri ini masih belum sihat sepenuhnya. (Namun kuterima semua ujian ini sebagai tanda penghapusan dosa ya Ilahi..)
No comments:
Post a Comment