Friday, April 12, 2013

CATATAN PENGHUJUNG HARI KHAMIS 11 APRIL 2013

Sewaktu tangan saya berlarian di atas butang-butang keyboard Acer Aspire 4730Z ini, jam menunjukkan pukul 11.28 malam. Maknanya lagi beberapa puluh minit hari akan bertukar. Sebenarnya baru sebentar tadi saya menyelesaikan dan send tugasan rutin iaitu cerpen untuk ruangan tetap saya dalam majalah. Biarpun dengan segala susah payah nak mencipta cerita / fiksyen namun apabila siap timbul kepuasan yang amat sangat. Dan untuk sebulan lagi saya akan menunggu cerpen tu tersiar dalam majalah. Begitulah dari bulan ke bulan. Sedar tak sedar sudah hampir 3 tahun saya menulis untuk majalah Kuntum. Biarpun hanya sebuah majalah untuk kanak-kanak, saya yakin sedikit sebanyak saya dapat mendidik dan memberi semangat kepada anak-anak kecil untuk gigih menghadapi cabaran dalam dunia mereka. Saya harap sumbangan kecil saya untuk anak-anak di Malaysia akan bermanfaat jua......

Sehari dua ini hidup ini begitu sibuk dengan acara-acara di tempat kerja. Urusan-urusan dalam keluarga. Bergelut dengan kesihatan yang kurang baik. Mengejar dan dikejar masa. Melayani dan mendiplomasikan diri dalam berurusan dengan teman-teman sekerja, anak buah dan anak didik.... semuanya menuntut kesabaran dan ketelitian. Terkadang ras bersalah jika tidak dapat melayani semua. Namun sesekali terduduk, terkedu di kerusi ruangan kerja dek kerana keletihan dan ketidak tentuan rasa... inilah dia rupanya kehidupan saya ketika meniti usia 50 tahun.

Rupanya saya sudah berusia separuh abad. Baru-baru ini saya menyambut hari kelahiran pada 29 Mac 2013 di sebuah kiosk roti / kebab di Mira Plaza berhampiran Masjidil Haram, Makkah Al Mukaramah. Saya bersama isteri . Umi duduk di sebuah kerusi kayu di tingkat satu Plaza berkenaan sambil menikmati roti kebab dan fresh orange. Itu sahaja sambutan hari lahir saya. Saya menyambut hari lahir kali ini iaitu untuk usia 50 tahun ketika mengerjakan Umrah di Makkah. Sebenarnya inilah hari lahir paling istimewa dalam hidup saya kerana saya sambut hari lahir dengan muhasabah diri...... alhamdulillah hingga saat ini saya masih menikmati hasil muhasabah diri itu..... rupanya tiada apa-apa makna sambutan hari lahir jika tiada pengisian dalam diri. Umur atau usia rupanya hanyalah sekadar hitungan nombor. Apalah nak dibangga dengan usia yang meningkat kerana sebenarnya umur yang berlalu itu tidak akan kembali lagi..... yang penting sebenarnya ialah berapa lama lagi usia akan berbaki? Itu suatu persoalan. Masih bergema dalam kotak fikiran saya kata-kata dan tazkirah oleh mutawwif umrah saya iaitu Ustaz Najib..... berapa banyak amalan yang kita ada sebagai bekalan ke alam akhirat..... kata-katanya sangat menyentuh hati. Ustaz Najib ni sangat penyebar orangnya. Tenang... warak dan sentiasa menasihat orang. Bukan sebarang orang juga dia ni.... lulusan undang-undang tapi nampaknya sengaja bekerja secara kontrak di mahkamah kat Johor Bahru supaya beliau dapat jadi mutawwif umrah... dapat buat umrah percuma di samping sedikit pendapatan. Nampaknya Ustaz Najib bahagia dengan kehidupannya.....
Inilah Ustaz Najib. Begitu sabar membantu anak buahnya. Terima kasih ustaz.

No comments:

Post a Comment