Friday, July 27, 2012

RAMADAN MENGGAMIT KENANGAN...

Bulan puasa memang banyak nostalgia bagi semua orang. Masih kuingat lagi waktu bulan puasa di kampung. Kampung kecilku yang sunyi dan sepi. Belakang rumahku ada bukit, di hadapan rumahku ada surau. Di belakang itu ada sawah ayah yang sayup mata memandang sampai ke bukit di hujung sana. Sayup mata memandang. Kekadang kalau bulan puasa jatuh pada musim padi sedang menguning.... itu saatnya aku akan berjalan di permatang sawah. Akan kusentuh buah padi yang sedang menguning keemasan. Dalam hati aku bersyukur kerana tentu lepas raya nanti ayah akan tersenyum dapat duit padi!. 
Bulan puasa bagiku di kampung suatu masa dahulu ialah himpunan kenangan nostalgia seorang anak kampung yang berbadan kecil... kurus ... tapi anganannya besar sebesar bukit di belakang rumahku.  Waktu itu tak terlintas pun bahawa suatu hari aku akan jadi seseorang seperti hari ini. Itulah kebesaran kuasa dan kasih sayang Ilahi kepada hambanya....
Catatan Gambar:
Gambar ini kuambil sebulan lepas. Inilah dia sawah ayah . Nampak sikit atap tu ialah atap bumbung surau kampungku. Sekarang ni (Julai 2012) padi sedang membesar. Seminggu dua lagi akan keluar bunga dan berbuah. Kampungku memang indah dan permai.....Di permatang antara petak-petak sawah itulah dahulunya di bulan puasa sepasang kaki anak kecil berlarian sendirian sambil melompat-lompat gelung air... itulah aku. Indahnya saat itu... anak kampung bebas berlarian kerana seluruh kampung itu adalah miliknya!

 Ini dia surau kampungku. Letaknya di hadapan rumahku. Ini surau baru. Di sinilah aku akan bertarawih kalau balik kampung pada bulan Ramadan. Tulisan penanda pada dinding surau itu adalah hasil tanganku. Harap-harap tulisan itu akan kekal di situ hinggalah selepas aku tiada lagi di dunia ini. Dalam hal ini teringat kalau aku ke Pantai Merdeka dan lalu di Bukit Meryam Kota Kuala Muda pasti aku teringat sahabatku penulis / sasterawan Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Pastinya aruah juga ada meninggalkan tanda kenangan semasa hidupnya di kampung kelahirannya itu. Seperti juga aku.....
Ini rumah ayah sekarang. Di sebelah mpv aku tu  kereta adikku Nizam. Rumah ni baru siap tahun lepas. Dulu rumah kayu dua tingkat. Aku sebenarnya masih merindui rumah lama yang asal dulu yang beratapkan daun rumbia. Sejuk sangat kalau berada katas rumah tu dulu. Tapi sekarang hanya tinggal kenangan. Tak ada lagi lantai kayu yang dibelah sendiri oleh ayah dengan bantuanku dan adik-adik.... tiada lagi daun tingkap daripada batang bertam yang dianyam indah oleh ayah dan mak. Tapi aku rasa.... bakat kreatifku banyak diwarisi daripad ayah. Bezanya ayah pandai buat anyaman tingkap, buat tuar tahan ikan, buat serkap, buat bubu, buat pelompat, buat batang taut, anyam tikar kelarai, sirat jala dan macam-macam lagi. Aku pula kreatif dalam penulisan. .....

No comments:

Post a Comment