Malam ini aku agak lapang. Berada di ruang tamu rumahku. Astro saluran HBO431 sedang menayangkan filem Doom lakonan The Rock. Tak habis-habis cerita ganas yang jadi filem box office. Ya... betul malam ini akau agak lapang. Setelah beberapa hari dan minggu ini aku betul-betul sibuk dengan macam-macam urusan. Sebenarnya banyak sekali hal-hal dan peristiwa dalam hidup yang ingin kumuatkan dalam diary ini untuk kenang-kenangan tapi aku masih belum punya waktu terluang untuk berbuat demikian. Banyak gambar yang dirakam khas untuk diabadikan di ruangan ini untuk tatapan masa akan datang. Terbaru minggu lepas aku ke Kuala Sepetang dan Gunung Larut bersama rombongan rakan-rakan pengurusan sekolah-sekolah daerah. Sangat menarik lawatan kembara ilmu itu.
Ini gambar terkiniku yang diambil pada petang Jumaat 13 September di puncak Gunung Larut (Maxwell) Perak. Kat atas bukit ni agak sejuk dan lebih sejuk daripada Cameron Highland. Kami menginap di sebuah banglo lama British yang telah diubahsuai. Paling mencabar ialah ketika menaiki jeep untuk naik dan turun Gunung Larut. Jalan berliku-liku dan sempit. Salut untuk pemandu jeep Encik Jamal yang sangat cekap dan berani. Nanti kalau boleh aku akan upload video yang kuambil semasa turun dari Bukit Larut.
Esok Jumaat 20 September aku dan famili akan ke USM Pulau Pinang untuk majlis Konvokesyen anak ketigaku Hanis. Lepas solat Jumaat aku dan umi akan masuk ke dewan Tuanku Syed Putera menyaksikan Hanis terima ijazah. Hanis sudah berada di USM kerana dia pergi terus ke sana dari tempat kerjanya di Parai. Lusa Sabtu 21 September pula kami akan ke UniMAP, Kangar Perlis untuk majlis Konvokesyen anak keduaku Hamizi. Sekarang ni Hamizi sedang rehearsal konvo di Dewan 2020 Kangar. Tulah dia... 3 orang anakku dah habis belajar. Aku dan umi akan beri peluang Hanis dan Hamizi enjoy dengan majlis konvo mereka. Inilah kenangan paling manis mereka setelah bertungkus lumus belajar. Aku dan umi sebagai ibu bapa tentulah sangat bangga dengan anak-anak yang dah berjaya dalam pelajaran. Tak terasa lagi segala susah payah semasa mereka belajar. Syukur kepada Allah kerana aku dan umi dapat menyelesaikan tanggung jawab kami....
No comments:
Post a Comment