Friday, August 16, 2013

Diaryku- Kenangan Ramadan 1434

Foto-foto sepanjang Ramadan... kuabadikan foto-foto ini untuk kenang-kenangan. ....
...........Exora ni  membawa aku dan famili kembali ke kampung sebanyak 3 kali untuk berbuka puasa pada tahun 2013. Gambar-gambar di bawah ini kuambil pada bulan pada kali kedua aku berbuka di kampung. Petang tu aku ada masa lapang dan macam selalu aku akan mencapai motosikal ayah dan berkeliling kampung seorang diri. Setahun sekali dalam bulan puasa aku pasti akan buat perkara ini untuk mencari angin petang sambil mengimbau kenangan lama semasa bulan puasa. Kenangan lalu seorang budak kampung.....
(setiap gambar di bawah ni ada maknanya bagiku sebab itu aku rakamkan dengan hpku... akan kuupdate kemudian makna bagi setiap gambar ini....)
Ini kawasan kebun sayur kat belakang rumah mak ayah. Penuh kehijauan kawasan yang dulunya semak dengan beberapa perdu bulu lemang. Mak yang tanam pokok keladi hitam dan cili ni. Aku memang suka tengok pokok keladi dan suku meniram air atas daun keladi yang kalis air tu. Kagum dengan kejadian Allah. Gambar ni kuambil untuk merakamkan hasil tangan mak berkebun sayur. Mampukah aku bercucuk tanam macam mak? Tapi minat mak yang suka bercucuk tanam pokok memang sama macam minat aku cuma tak punya ruang masa untuk berbuat demikian....
 Ni pokok kacang botol yang dijadikan ulam tu. Pokok ni jenis memanjat dan sulurnya cepat panjang. Menjaganya juga taklah susah asalkan perdunya perlu dijirus air selalu. Ada juga pokok cili besar dan ulaman Lam Je (Bahasa Siam kot?). Sedam ulam ni wangi dan menyegarkan baunya. Harum sangat ketika kita mengunyahnya sebagai ulaman. Harumnya seakan ulam raja tetapi lebih harumlah.... Mesti banyak khasiatnya.....
 .Waktu diambil gambar aku ingatkan hanya pokok cili saja kat sini tapi bila diteliti balik rupanya ada macam-macam pokok kat dalam gambar ni. Tulah hasil keringat mak dan ayah. Tak reti duduk diam, mesti nak buat kerja. Aku teringat balik ketika di Mekah dan Madinah waktu kami sama-sama buat Umrah baru-baru ni... mak ayah sama gagah dengan aku, umi dan adik-adikku waktu berjalan ke Masjidil Haran dan Masjid Nabawi. Balik dari tanah suci ni mak ayah makin sihat berbanding sebelum ke Umrah.....
 .Pokok-pokok jagung kata mak dia tanam main-main saja. Tak sangka menjadi dan dapat pulak dijual!!!
  Dapat seratus dua jugak la. Memang pun aku tengok pokok2 jagung ni berselerak saja kedudukannya. Biasanya kalau ayah menanam pokok siap tarik tali dulu untuk buat baris.... Kata mak, saja je tanam jagung ni untuk anak cucu makan. Tak sangka pula menjadi betul dan matangnya pada bulan puasa! anak cucu pun tak larat nak kunyah jagung la tok oii... Apa lagi pakat tolong kepak jagung dan pi letak kat kedai. Lebih tak sangka lagi.... semua habis terjual....
 ..........................
......Rambutan sedang berbuah dan dah masak sejak awal puasa. Buah taklah lebat tapi banyak banyak pokok yang berbuah. Pokok ni jenis anak sekolah. Buahnya taklah manis sangat tapi rapuh dan sedap aromanya. Ada dua pokok rambutan yang ayah tanam jenis lekang nyok. Ada satu pokok tu aku yang sponsor benihnya. .....
 Musim padi sedang membesar... menghijau seperti hamparan permaidani. Inilah kampungku dalam bulan puasa. Cermin ni adalah motor ayah yang kutunggang. Kampungku kecil saja, tak banyak pun rumah tapi bagiku sangat permai dan mendamaikan..... kampung terpencil yang penuh kenangan bagiku....
Ini jalan mini tar dikampung ku... Kampung Bendang Petani. Di hujung jalan inilah letaknya rumah mak ayah.... tempat asalku membesar. Jalan ni dulunya jalan tanah merah yang berlopak dan selalu digenangi air becak. Jalan ni bertar.... ada juga sentuhanku kerana beberapa tahun yang lalu aku selalu membantu setiausaha JKKK membuat macam-macam surat permohonan ... terutamanya jalan ini, bekalan air, bekalan elektrik, talian telefon, surau, balai raya, projek-projek pertanian dan macam-macam lagi aku pun dah tak berapa ingat dah.Maklumlah masa tu akulah orang pertama jadi cikgu dan makan gaji di kampungku. Tapi kata orang kalau buat baik toksah diingat-ingat lagi.... biar Allah sahaja yang membalasnya. Tapi itulah dia.... sememangnya kebanyakan prasarana di kampungku ada sentuhanku... Kini semuanya dah ada hinggakan kampungku terpilih dengan kemudahan internet tanpa wayar. Ibu sawatnya terletak betul-betul di hadapan rumah mak ayah. Sekarang ni aku tak lagi perlu membantu JKKK buat apa-apa surat lagi kerana Pengerusi JKKK sekarang En Mazlan educated... kelulusuan pun diploma. .....
.Sengaja aku ambil gambar pokok ini. Pokok ni namanya pokok cenerai atau cenderai. Aku tak pasti la pula nama botaninya. Pokok ni sangat berguna kepada kami budak-budak kampung suatu masa dahulu. Buahnya yang muda dan sedikit tua kami jadikan peluru sejenis senapang buluh yang kamu sebut `Cak Plong'. Kami (selalunya beberapa orang sahaja)  selalu bermain perang askar menggunakan senapang buluh tu. Memang agak sakit kalau terkena peluru buah cenerai tu. Buah cenerai yang masak berwarna hitam keperangan. Aku suka makan buah ini. Tapi nak makan buah ni kena telan dengan bijinya sekali...... kenangan penuh adventure ini sentiasa kukenang. Bila bawa anak-anak balik ke kampung, anak-anakku tak reti nak bermain pun.... zaman sudah berubah. Aanak-anakku dan anak sedara lebih suka terperuk dalam rumah bermain game komputer dan facebook. Sayangnya mereka kerana tidak manfaatkan persekitaran kampungku yang sangat indah dan mencabar fizikal akalupun tidak minda....
..Pokok ini pun sama. Nama pokok ni pokok `Mao'. Nama lain aku tak pernah dengar la. Menariknya pokok ini ialah buahnya yang merah kehitaman tu sungguh manis. Aku suka buah ni. Inilah antara makanan ringan kami di kampung......
.........Aku juga sempat meninjau kebun getah ayah yang baru ditanam semula........
...Kali terakhir aku datang ke kebun ini ialah ketika anak pokok getah mula ditanam. Ketika sampai di kebun ini aku terkejut kerana pokok getah sudah membesar dan ada sebuah pondok yang ayah bina. Ada pula pokok pisang berangan ditanam dicelah-celah barisan pokok getah.
..Memang ayah mahir membina pondok persinggahan macam ni. Aku teruja melihat pondok buatan tangan ayah. Bahan-bahannya daripada pokok-pokok hutan saja dan atap zink lebihan rumah lama ayah. Aku sempat berbaring dan melelapkan mata sebentar dalam pondok ayah. Terasa amat sunyi di sini.... seolah-olah hanya aku seorang sahaja yang ada dalam dunia ini. Yang kedengaran hanyalah kicauan burung-burung hutan......
...Sebenarnya aku teringin sekali untuk berlama-lama di pondok dalam kebun getah ayah. Namun hari sudah petang dan waktu berbuka puasa sudah hampir...... Dengan berat hari kutinggalkan kebun getah ayah....
Aku juga sempat ambil gambar ini. Ianya sebuah telaga lama di perdu sebatang pokok besar. Jika dibersihkan ranting dan daun kayu di dalamnya aku yakin air dalam telaga ini masih jernih. Telaga ini ada maknanya bagiku kerana suatu masa dulu aku sering minum air dari telaga ini. Dingin dan manis airnya... aku yakin banyak kandungan mineral dalam telaga yang tidak pernah kering walaupun kemarau panjang. Nama tempat ni Telaga Sanai mungkin ambil sempena nama telaga ini (aku tak berapa pasti). Aku harap telega ini tidak dirosakkan kerana ada maknanya bagiku.... banyak nostalgia di sekitar kawasan telaga lama ini.... banyak kisah kehidupan berkisah di sekitar telaga ini kerana suatu masa dulu ada beberapa rumah penduduk kampung berhampiran telaga ini. Bagiku, seakan ada misteri dalam telaga ini kerana suatu masa dulu aku pernah bermimpi ... aku menyelam ke dasar telaga ini dan menemui sejumlah harta karun .... aku tak pasti apa maknanya.... Apapun aku berharap telaga ini akan kekal di situ kerana aku sentiasa teringat betapa enaknya meneguk airnya yang dingin itu.....



No comments:

Post a Comment