Kebelakangan ini aku sudah kembali boleh membahagikan masa seharian dan dapat melapangkan sedikit masa untuk hobi utamaku iaitu membaca. Memanglah belakangan ini aku lebih banyak membaca secara online tetapi rupanya pembacaan yang lebih mengasyikkan ialah melalui medium buku fizikal juga... macam dulu-dulu. Masih kuingat lagi waktu sekolah menengah memang aku sanggup menyimpan wang belanja sekolah yang diberi oleh mak dan ayah semata-mata untuk membeli akhbar Mingguan Malaysia. Waktu Hari Raya Aidil Fitri sangat seronok apabila mendapat duit raya. Aku jarang membeli mercun atau bunga api tapi duit raya selalunya kuhabiskan dengan membeli komik dan majalah kegemaranku. Bila dah tua dan sesekali merenung masa kecil dan remaja.... baru kusedar bahawa tabiat suka membeli akhbar dan majalah itulah yang membajai minat dan bakatku dalam bidang penulisan. Seperkara lagi waktu remaja aku suka sangat mendengar drama radio . Masih kuingat radio transistor kepunyaan ayah dapat menerima siaran radio Singapura melalui gelombang pendek (bukan fm macam sekarang). Pelakon drama radio Singapura yang masih kuingat namanya... Jahlelawati dan Osman Zailani ... lakonan mereka sangat memberi kesan kepadaku. Akhirnya pada zaman maktab perguruan , aku akhirnya dapat menghasilkan skrip drama radio.... Masih kuingat bayaran royalti pertama skrip drama radio sebanyak RM130.00 aku berikan sebahagiannya kepada ayah. Selepas itu ayah tak bising lagi apabila aku asyik membeli majalah dan buku.... agaknya ayah mula memahami bahawa aku sememangnya berjiwa penulis... Kini minat dan kesempatan membaca asyik tenggelam timbul dek kesibukan urusan seharian. Aku berharap minat membaca dapat diteruskan walau sesibuk manapun. Namun apa yang pasti aku memang suka membeli buku walaupun ada buku-buku yang belum sempat dibaca walaupun sudah lama dibeli!
No comments:
Post a Comment