Sekarang ini jam di ruang tamu rumahku menunjukkan jam 12.05 tengah malam hari Selasa. TV2 sedang menayangkan cerita Labu Labi lakonan P Ramlee and the gang.... salah satu filem lama yang menjadi kegemaranku. Memang filem tu lucu dan menghiburkan. Kubiarkan saja filem lawak tu mengiringi penulisan ini. Aku masih belum tidur kerana sedang memilih peribahasa untuk penulisanku dalam ruangan tetapku dalam majalah Kuntum terbitan bulan Jun 2013. Sebenarnya dateline setiap bulan ialah 10 hb tapi editor sudah hantar emel minta disegerakan. Macam biasalah aku akan selesa menulis bila mengejar dateline. Belum jumpa lagi peribahasanya... tak mengapa, nanti jumpalah tu. Untuk seketika ini aku ingin mencatat sedikit berkaitan hal mengundi semalam. Bukan apa... ianya suatu peristiwa bersejarah negara jadi aku ingin abadikan peristiwa mengundi itu dalam ruangan diary ini. Suatu masa nanti mungkin dapat kubaca kembali catatan ini berserta kenangan sepanjang jalannya.
Di sinilah aku mengundi pada jam lebih kurang 9.30 pagi 5.5.13. Ini sekolah pertamaku iaitu Sekolah Kebangsaan Pokok Asam, Pendang, Kedah. Tapi semasa aku belajar di sini dari tahun 1970 - 1975 bangunan ini belum ada. Yang ada atas tapak bangunan ialah sebuah bangunan berdinding papan satu tingkat sahaja. Masih kuingat nama-nama guru-guruku : Cikgu Fatimah (arwah), Cikgu Jelani (masih hidup, baru-baru ini aku terjumpa beliau di Alor Setar, cikgu ini bapa kepada Dr Jelani yang punya beberapa buah klinik kat Alor Setar, Dr Jelani satu sekolah denganku di SM Pokok Sena. Jelani labih pandai dariku, dia 5 Sains 1 , aku 5 Sains 2 saja. Dato' Saifuddin Nasution SU PKR pun satu kelas dengan Dr Jelani), siapa lagi ya guruku di SK Pokok Asam ni... o ya, Cik Salleh guru bahasa Inggerisku. Cikgu Salleh masih hidup tapi kurang sihat. Nanti ada masa lapang aku akan menziarahi guruku ini. Cikgu Ayob yang dulu ada kereta mini kuning... aku tak pasti dia ada di mana. Yang lain-lain aku tak berapa ingat dah.... maklumlah sudah 40 tahun lebih kurang aku meninggalkan sekolah ini. Lima tahun sekali aku akan datang mengundi di sekolah ini. Kenangan yang tak boleh kulupai waktu belajar di sekolah ini ialah datang sekolah berjalan kaki sejauh 6 km, memakai baju lusuh, kasut plastik... di kantin paling suka makan bihun ditambah kuah laksa, waktu balik singgah kat kedai depan sekolah beli ais kepal . Tu lah dia kenangan lama... aku bersyukur sangat kerana aku berjaya meneruskan pelajaran... otakku agak cerah... tak macam nasib kawan-kawanku yang tercicir. Sekarang ni kalau terjumpa kawan-kawan lama semasa sekolah rendah... ramai dah bercucu... Tapi yang aku bersyukur.... kerana ramai yang masih mengenali diriku dan selalu bertegur sapa serta bertukar cerita...
Ini isteriku Umi Hasiah. Di belakang umi itulah bilik tempat aku mengundi iaitu saluran 2. Orang tak ramai untuk saluran ini. Calon bertanding Parlimen Pendang: BN Dato Othman Abdul, PAS Mohamad Sabu. Dun pula Sg Tiang dan Tokai. Aku tak pula bercadang untuk isytihar di sini calon mana yang aku undi kerana nampaknya diaryku ini ramai juga pelawatnya....biarlah rahsiaperibadi....
Ini tangan kiriku. Inilah bukti aku sudah mengundi untuk PRU 13. Masih nampak jelas dakwat tu...
Sebagai kenang-kenangan aku sempat bergambar kenangan di hadapan tempat mengundi yang juga sekolah lamaku, SK Pokok Asam. (Bila tengok gambar sendiri, segera tersedar bahawa diri ini sudah tua.... Dah begitu hukum alam...) Nama sekolah ini ada kuabadikan dalam cerpen peribahasaku dalam majalah Kuntum keluaran bulan Mei 2013.
Itulah dia kisah mengundi 2013. Lepas tu kami balik singgah di kampungku. Dapat jumpa mak ayah dan adik perempuanku Norbaya. Lepas tu balik ke Alor Setar melalui pekan Pendang melihat kerancakan orang mengundi...... malam tadi aku macam rakyat Malaysia yang lain juga... berjaga sehingga jam 3.00 pagi untuk mengetahui keputusan pilihanraya. Keputusannya BN kembali memerintah. Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor masih PR. Hal keputusan aku tak bercadang nak ulas. Sekadar mengambil tahu dan kehidupan diteruskan seperti biasa....
No comments:
Post a Comment