Ingin kucatatkan di sini apa yang berlaku malam tadi. Awal malam aku dan umi mengajak anak-anak ke sebuah restoran baru Idaman Kuala yang letaknya betul-betul di tepian pantai Kuala Kedah. Sebenarnya itu kunjungan keduaku ke restoran itu. Tapi memang sudah niatku nak ajak anak-anak keluar makan kat situ jika anak-anak semua ada di rumah. Pagi semalam Hanis baru sampai dari USM. Dia lewat pulang bercuti kerana nak menghabiskan kerja-kerja makmalnya atas kehendak profesor penyelia kerja projeknya. Namun menantuku tak dapat ada sekali kerana kemnya buat acara sambutan Mailidurrasul. Satu lagi kesedihanku ialah anak angkatku tak dapat ada sekali juga. Dah beberapa bulan dia membawa diri dan menjauhkan diri daripada keluargaku. Nampaknya dia seperti mahu mencari diri kerana aku mendengar khabar daripada kawan-kawannya bahawa dia kini sedang mendalami ilmu agama di sebuah pondok pengajian. Tidak mengapalah kalau itu sebabnya. Aku dan umi redha sahaja. Kami menjaga dan mendidiknya dengan ikhlas, terpulanglah kepada dia. Namun ketiadaan menantu dan anak angkat diceriakan oleh adanya cucuku Arisya. Cuma sehari dua ni Arisya kurang sihat.
Makan malam ok saja. Namun ketika hampir nak selesai makan malam aku menerima panggilan telefon daripada adik perempuanku menyatakan ayah di kampung kurang sihat. Selesai makan kami terus sahaja ke kampung. Kedua orang anak lelakiku yang memandu MPV. Sampai di kampung sekitar jam 10.30 malam. Terus menerpa ke arah ayah. Memegang kepalanya... memang panas juga seluruh badannya. Terus kuminta anak-anakku memicit seluruh badan ayah. Memang sudah begitu kebiasaannya kalau ayah demam. Badannya akan lenguh-lenguh dan minta dipicit. Aku sendiri memicit dan menyapukan minyak angin ke kepala ayah. Kurusnya ayah hinggakan tak berani aku memicit ayah dengan kuat. Badan ayah nampak sangat tidak bermaya. Dalam hati aku mendoakan ayah makin sihat. Dan... dapat sama-sama mengerjakan umrah penghujung Mac ini seperti yang dirancang. Semua urusan dah diselesaikan cuma menunggu masa saja. Sebenarnya waktu melihat keadaan ayah ada dua perkara menyentuh hatiku. Pertama aku makin sedar betapa ayah kuat bekerja waktu muda hingga ke tua membanting tulang untuk menyekolahkan anak-anak sehingga semua berjaya. Dalam kampung kami anak-anak ayah yang paling berjaya. Hampir semua anak-anak ayah ada diploma dan ijazah. Masters pun ada 2 orang. Semuanya hasil kerja keras ayah. Hal kedua ialah aku terbayangkan apabila aku tua nanti aku pun mungkin seperti ayah... badan kurus dan selalu sakit-sakit. Banyak ciri-ciri ayah ada padaku. Cuma beza sikit aku tak merokok sedangkan ayah perokok tegar. Tu sebabnya aku takut sangat kalau sakit ayah melibatkan batuk... tapi malam tadi ayah tidak batuk. Mudah-mudahan demam biasa saja.... mudah-mudahan ayah cepat baik dan kami dapat sama-sama ke tanah suci nanti.
Lebih kurang jam 12 malam kami bertolak balik ke rumah..... dan inilah dia.... aku bangun awal pula dan berada di hadapan laptop ini sedangkan ahli keluargaku termasuk umi di sebelahku ini sedang nyenyak tidur.... siang nanti aku akan mempunyai jadual hari cuti yang sangat banyak...... aduh.....
No comments:
Post a Comment