Tuesday, August 28, 2012

CATATAN 11 SYAWAL 1433

Hari ini Selasa 11 Syawal 1433. Hari ini barulah ada sedikit ruang untukku mencatat di sini. Sibuk betul raya kali ini. Letih tidak terhitung. Memang beraya di Kuala Terengganu menyeronokkan. Meriah dengan kunjung mengunjung. Menghulur duit raya kepada anak-anak buah yang ramai. begitu juga sanak saudara turut menghulur duit raya kepada anak-anakku. Ditambah lagi kali ini cucuku juga turut mendapat duit raya. 
Beraya di rumah pesaka orang tua di Pulau Rusa (Nama kampung ini ada kuabadikan dalam novelku Rahsia Pulau Wau terbitan DBP). Kampung ini letaknya dekat sahaja dengan Kuala Terengganu. Lebih kurang 3km saja. Rumahnya rapat-rapat. Di celah-celah rumah ada pokok duku yang terkenal manis tu. Orang yang ada kencing manis usahlah cuba makan buah ini kerana saqngat manis. Mula makan sebiji tak boleh berenti selagi tak habis sekilo. Kampung Pulau Rusa letaknya di tepian Sungai Terengganu. Diseberangnya Kampung Manir. Disambung dengan Jambatan Manir. Raya kali ini sempat menziarah semua sanak saudara terdekat. Pergi juga ke rumah anak-anak sedara. Semua ramah tamah belaka apa lagi menyambut kami orang dari jauh. Dia Kuala Terengganu 5 hari jugak. Raya ketiga sudah bertolak balik ke Kedah. Lebih kurang jam 12 tengah hari baru mula bertolak balik. Ikut jalan pantai sebelah Merang dan Setiu. Sampai di persimpangan Machang sangkut dalam traffic jam lebih kurang 5 jam. Mujur anakku Hazman yang memandu. Mulai Jeli aku memandu mpv. Letihnya sebab kereta manual. Myvi yang accident hari tu masih kat bengkel. Jam 3 pagi sampai kat rumah di Alor Setar. Pagi esoknya belik kampung beraya dengan mak ayah. Kebetulan adik-adik dan keluarga mereka ramai lagi kat kampung. Berselera makan tengahari lauk ikan masin bendang kegemaranku. Bersantai-santai dan berbual macam-macam hal dengan adik-adik ipar. Topik biasa saja, pasal kerja, pasal politik dan entah apa-apa lagi. Lepas tu terpaksa balik semula ke Alor Setar sebab ada hal. Terkilan juga kali ini aku tak sempat beraya berkeliling dengan motor kapcai..... melawat rumah orang-orang kampung seperti selalu. Kali ini aku tak dapat melawat rumah Abang Shafie yang selalu bercetita tentang sakit kencing manisnya. Abang Ya Janggut yang suka mengeluarkan kata-kata sinis kepada orang politik. Pak Ngah Noh .... aku suka mendengar kisah-kisah alam mistik yang dilaluinya... Kak Melah yang selalu mengadu tentang sakit batuknya yang tak habis-habis. Che Mat ... yang selalu bercerita tentang kerjanya memajak durian orang Siam dan kisah broker mesin padinya. Ngah Man yang selalu bernostagia dengan kisah-kisah zaman gemilangnya dulu sewaktu keluar memburu pelanduk di Gunung Jerai dan hutan Pedu. Kali ini juga tak dapat melihat lagi kelibat Tok Chen ... satu-satunya orang yang tidak pakai sebarang kasut waktu berjalan. Unik orang tua ini . Selalunya kalau dia berjalan , akan dililit semuntal di kepala, baju kemeja lusuh tak berkancing, kain sarung lusuh digulung separas lutut dan hebatnya rokok daun sentiasa ada di mulut. Sesekali kalau terserempak dengan Tok Chen aku akan menegur dan bercakap sepatah dua dalam bahasa Siam kampung. Memang aku faham bahasa Siam kampung cuma tidak begitu fasih bila bercakap. Itu semua kenangan lama yang sentiasa kurindui semasa raya di kampungku. Kampung kecil tempat terpencil namun sungguh dekat dihatiku......


No comments:

Post a Comment