Friday, November 15, 2013

TULISAN PADA PAGI JUMAAT 15 NOV 2013- Bersantai Di Balkoni Rumahku...

Ketika aku mula menulis ini jam menunjukkan pukul 7.15 pagi. Aku baru naik dan duduk di kerusi rehat di balkoni rumahku. Sudah banyak minggu aku tidak naik ke bahagian atas rumahku ini. Sejuk kat atas balkoni ini kerana ada angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kedengaran bunyi burung pelbagai jenis berkicauan dan dari kejauhan kedengaran juga bunyi deruan kereta di jalan raya tidak jauh dari rumahku. Jalan Tanjung Bendahara semakin sibuk setelah siap jalan baru yang bertaraf lebuh raya. Ditambah pula kesibukan kenderaan kerana sudah ada pasaraya Mydin dan Mac Donald tidak jauh dari taman perumahanku. Di hadapan taman ku juga sudah ada Pasaraya KB dan bakal dibuka sebuah lagi pasaraya besar. Keadaan ini berbexa belasan tahun dahulu ketika aku dan keluarga mula mendiami taman ini. Itulah dia... cepat masa berlalu.... sedar tak sedar kini aku sudah berusia 50 tahun lebih. Anak ada 5 dan cucu sudah ada 2. Rambut walaupun masih banyak hitam... uban semakin banyak.... 

Hari ini hari pertama cuti persekolahan. Semalam ketika di sekolah aku lihat sukanya cikgu-cikgu sekolahku berwajah ceria kerana sekolah akan bercuti. Sempat juga aku bertanya kepada seorang dua apa rancangan masa cuti. Ramai kata sudah ada plan untuk makan angin. Nampaknya sekarang ini guru-guru memang menanti-nanti musim cuti untuk bergi berehat setelah berhempas pulas dengan kerja-kerja sekolah... Inilah realitinya .... kerja guru makin banyak dan mencabar fizikal dan mental. Masalah pelajar makin rencam dan pelbagai. Itu tak kira kerenah ibu bapa lagi. Dan aku ambil peluang pagi ini naik ke atas rumahku untuk mengambil angin pagi sekejap sebelum keluar bersarapan. Tadipun umi sudah beri hint untuk bersarapan di pekan sehari Jalan Putra. Selain bersarapan.... tentu ada yang nak dicarinya di pekan sehari itu nanti. Matahari mula bersinar, dan aku perlu berhenti di sini.

No comments:

Post a Comment