Wednesday, December 11, 2013

Diary Rabu 11.12.13

Malam ini aku agak kurang sihat. Sepetang tadi aku tidur saja di ruang tamu rumahku. Aku sendirian petang tadi kerana Umi, anak2 dan cucuku keluar ke bandar Alor Setar kerana beberapa urusan. Rasa tak sihat sangat petang tadi. Agaknya sebab kena hujan memanjang sejak 2 minggu lepas. Kat Terengganu musim hujan. Balik Kedah pun kena hujan lagi. Umur dah meningkat ni, agaknya antibodi pun dah tak kuat. Memang sudah begitu hukum alam. Yang kuat akan jadi main lemah , yang mudah akan jadi tua... Apapun tetap kena bersyukur kerana Allah masih panjangkan usia. Kini usiaku akan mencecah 51 tahun pada bulan Mac 2014 nanti. Tahun 2013 pun hanya tinggal 2 minggu sahaja lagi. Sehari dua ini memang agak lapang kerana aku punya masa untuk rehatkan diri. Banyak perkara dapat dibuat dan nak dibuat . Ada juga perancangan nak buat itu... nak buat ini... tapi kini badan pula tak berapa sihat. Malam ini aku berada di ruang tamu rumahku bersama 2 orang anak dan 2 orang cucu. Astro cerita Hindustan 3 Idiots. Aina Nabihah sedang cerah matanya kerana dah tidur petang lama... si Arisya Nabila sedang kacau ibunya Hamizah. Hanim bukan main lagi layan cerita Hindustan. Umi dah lama lena dalam bilik. Aku sedang manaip di atas sofa santai yang kubeli khas untuk umi ketika dia jalani pembedahan baru-baru ini (RM600.00 juga harga sofa ini). Biasanya kalau tarikh 10 - 11 hb setiap bulan macam ni aku sibuk menyiapkan cerpen untuk ruangan Citra Peribahasa majalah Kuntum. Tapi kini tidak lagi kerana aku sudah pohon berhenti menulis untuk ruangan itu. Terasa sedih juga kerana bulan Januari 2014 tiada lagi tulisanku dalam majalah itu. Pasti ramai pembaca ruangan itu tercari-cari cerpenku. Apakan daya, aku tidak mampu lagi kerana masa sangat suntuk bagiku . Apabila sibuk dengan kerja-kerja pengurusan di tempat kerja, aku hampir tidak punya masa untuk menulis. Itulah masalahnya. Apabila terpaksa memilih aku terpaksa memilih tugas hakiki dan meninggalkan kegemaranku menulis biarpun sudah mendarah daging. Maafkan aku wahai anak-anak penggemar ruangan Citra Peribahasa majalah Kuntum kerana aku terpaksa mengundurkan diri. Jika aku panjang umur dan masih mampu menulis... anda mungkin masih dapat membaca hasil karyaku di mana-mana ruangan akhbar dan majalah atau mungkin juga buku...

No comments:

Post a Comment